Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sesi taklimat penerangan kepada ahli UMNO Cawangan Tali Air 7, di Sekinchan, baru-baru ini.

SEKINCHAN – Tabung derma Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilancar Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini didakwa hanya semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat terhadap ‘penyeludupan’ kekayaan anak-beranak bekas Perdana Menteri itu sebanyak RM7 bilion ke dalam negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa, ia merupakan taktik licik terbaru Mahathir sekeluarga untuk mengelak tindakan membawa masuk dana dipertikai rakyat.

“Inilah cara mereka nak menipu kita, duit AS$1.8 bilion (RM7 bilon) telahpun dibawa masuk oleh Tun Mahathir ke dalam negara kita, ada kaedah dan caranya.

“Kita sudah tahu siapa yang membawa masuk dan beliau tahu perkara ini akan terbongkar. Sebab itulah awal-awal lagi tubuhkan tabung untuk kutipan derma bagi melancarkan perjalanan politik parti bunga beliau.

“Apabila nanti tuduhan ini sampai, berita ini pecah, nanti dia kata duit ini datangnya daripada tabung derma,” katanya ketika berucap pada sesi taklimat penerangan kepada ahli UMNO Cawangan Tali Air 7, di sini, baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bercakap pada sesi taklimat penerangan kepada ahli UMNO Cawangan Tali Air 7, di Sekinchan, baru-baru ini.

Beliau mengulas rakaman video klip Mahathir berdurasi 2 minit 45 saat dimuat naik di laman sosial Youtube pada Rabu lepas merayu kepada orang ramai memberi sumbangan kepada PPBM untuk melancarkan kerja-kerja politik.

Selain Mahathir, wajah Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut terpampang dalam rakaman video tersebut yang turut merayu agar orang ramai membantu parti serpihan UMNO itu.

Jamalberkata, belum pun memerintah Malaysia, Mahathir sekali lagi cuba ‘memerah’ keringat rakyat bagi membiayai kempen politik beliau bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Siapa yang nak derma kepada parti bunga ini sebanyak AS$1.8 bilion atau RM7 bilion. Duit ini akan digunakan oleh Tun Mahathir untuk PRU14.

“Dia guna duit, sebab duitnya berbilion-bilion di luar negara dan sudah bawa masuk pun. Sebab itu beliau melancarkan kutipan derma untuk kutipan tabung parti bunga ini,” ulasnya.

Jamal selaku Pengerusi Gabungan NGO Selangor turut mempertikaikan langkah populis Mahathir itu melancarkan tabung derma sedangkan umum mengetahui beliau berceramah ke seluruh negara dengan menaiki pesawat peribadi.

“Tak masuk akal ke hulu ke hilir naik pesawat peribadi, beratus-ratus syarikat anak beliau, kaya-raya malah antara 10 orang bilionair dalam negara kita, nak kutip duit daripada rakyat untuk kerja-kerja politik parti beliau.

“Sebenarnya beliau ingin menutup apa yang sedang beliau lakukan sekarang ini. AS$1.8 bilion telah dibawa masuk ke dalam negara kita untuk PRU14,” dakwanya. – MalaysiaGazette.

1 Komen

Comments are closed.