Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap pada sesi taklimat penerangan kepada ahli UMNO Cawangan Tali Air 7, di Sekinchan, baru-baru ini.

SEKINCHANĀ – Tun Dr. Mahathir Mohammad didakwa menyogok pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan PKR sehingga RM1.7 bilion untuk memastikannya dilantik sebagai pengerusi pakatan pembangkang itu.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sambil menambah jawatan Mahathir itu telah menimbulkan pelbagai tanya tanda sedangkan beliau baru sahaja enam bulan menyertai pembangkang.

“Tun Mahathir sebelum ini bermusuh dengan DAP dan Pas, tiba-tiba dalam waktu enam bulan beliau berjaya menjadi ‘kepala’ iaitu pengerusi PH kepada pembangkang.

“Macam mana ini boleh berlaku? Ini kerana Tun Mahathir membayar RM1 bilion kepada DAP dan membayar RM700 juta kepada PKR,” katanya ketika berucap pada sesi taklimat penerangan kepada ahli UMNO Cawangan Tali Air 7 baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) bercakap pada sesi taklimat penerangan kepada ahli UMNO Cawangan Tali Air 7, di Sekinchan, baru-baru ini.

Pelantikan Mahathir sebagai Pengerusi PH diumumkan pada sidang media khas selepas mesyuarat Majlis Presiden bersidang lebih empat jam pada 14 Julai 2017.

Selain itu, bekas sekutu Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dinamakan sebagai Ketua Umum PH manakala isterinya, DatukĀ  Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai presiden.

Mahathir yang membaca senarai jawatankuasa itu turut mengumumkan tiga nama timbalan presiden PH, iaitu Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Jamal berkata lagi, sekiranya pendedahan beliau itu merupakan satu tuduhan tidak berasas dan fitnah, beliau sedia disaman oleh mana-mana pemimpin pembangkang terbabit.

“Kalau tak betul, biar Tun Mahathir saman saya. Saya minta Tun Mahathir & The Gang saman saya, buat laporan polis.

“(Selepas itu) senang saya nak kemukakan bukti-bukti apa yang sedang mereka lakukan di dalam negara kita.

“Tidak lain tidak bukan mereka lakukan hanya fitnah semata-mata dan ingin meneruskan cengkaman ekonomi di dalam negara ini kepada kroni-kroni beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.