Setiausaha Publisiti Parti Rakyat Malaysia, Tan Choon Swee bercakap pada sidang media Parti Rakyat Malaysia di Green Plus Sdn Bhd Kuala Langat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 21 FEBRUARI 2018.

KUALA LANGAT – Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin membentuk kerajaan dengan adanya campurtangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pakatan itu.

Ini kerana, sokongan terhadap pembangkang terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina akan berubah, lebih-lebih lagi pembangkang diketuai bekas perdana menteri yang pernah memerintah selama 22 tahun itu, kata Setiausaha Publisiti Parti Rakyat Malaysia (PRM) Selangor, Tan Choon Swee.

Menurut Tan atau lebih dikenali sebagai Philip, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu pernah melukai hati masyarakat Cina berhubung isu sekolah Cina.

“Mahathir pernah kata Dong Zong itu sekolah untuk melahirkan komunis. Kata-katanya telah menyebabkan orang-orang Cina marah. Mana dia boleh cakap macam itu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini hari ini.

Tan berkata, Mahathir tidak wajar berkata demikian kerana pelajar yang dilahirkan menerusi sekolah Cina mempunyai prestasi sama seperti sekolah-sekolah lain malah, sijil yang dikeluarkan diiktiraf di luar negara.

Katanya, terdapat lebih 60 buah sekolah Cina swasta di negara ini yang kesemuanya mendapat bantuan untuk pengoperasian daripada pihak kerajaan.

Dalam pada itu Tan berkata, penyertaan Dr Mahathir dalam PH sebenarnya memberi implikasi negatif kerana meskipun beliau mampu menarik 100,000 pengundi Melayu tetapi kerana sikapnya yang telah menghiris hati masyarakat Cina berkemungkinan 150,000 masyarakat daripada kaum itu yang menyokong pembangkang akan beralih arah.

“Walaupun Mahathir boleh dapat 100,000 pengundi Melayu tetapi saya pasti 150,000 pengundi Cina akan lari ke parti lain,” ujarnya.

Sementara itu, Tan yang baru menyertai PRM selepas bersama DAP selama 32 tahun berkata, dia mempunyai matlamat yang lebuh jelas di dalam parti yang baru disertainya itu.

Beliau mendakwa, DAP merupakan sebuah parti yang hanya mementingkan kroni dan tidak memperjuangkan hak rakyat.

Disebabkan itu katanya, beliau tidak lagi boleh berada dalam parti yang seperti itu kerana memendam hasrat mahu melihat hak rakyat dalam apa jua situasi terbela.

“Kalau nak diikutkan PRM ini 11 tahun lebih tua usianya berbanding DAP.

“Parti ini berjuang untuk rakyat dan saya memilih PRM untuk perjuangan bangsa kerana masyarakat di Kuala Langat mahu pembelaan dan rintihan mereka didengar,” ujarnya. – MalaysiaGazette