Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPURĀ – Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang diperkenalkan Pas sejak terputusnya tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat (PR) bertujuan untuk mengelakkan pergaduhan dan peperangan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun Islam membenarkan wujudkan perbezaan fahaman politik dan pendapat, namun perbuatan ke arah peperangan dan pergaduhan adalah ditegah oleh agama.

“Politik kita boleh berbalah, berkelahi tetapi tidak boleh berperang dan tak boleh bergaduh. Beza pendapat boleh dan kita (Pas) nak halang sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan itu.

“Islam sebenar mengajar pengikut-pengikutnya bagaimana kaum Cina dan India boleh hidup dan berkedai satu keluarga di kampung-kampung Melayu,” katanya berucap pada majlis Jamuan Sempena Tahun Baharu Cina 2018 di perkarangan Pejabat Penyelaras Parlimen Pas Kuala Terengganu, Kuala Terengganu, semalam.

Abdul Hadi berkata, ketika peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tercetus hingga menghuru-harakan negara, namun suasana itu tidak wujud di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Namun huru-hara berlaku di Pulau Pinang dan Singapura di mana berlakunya pergaduhan antara kaum. Tempat orang Islam bersungguh-sungguh berpegang dengan Islam, tak ada gaduh dan tak ada huru-hara,” katanya.

Abdul Hadi selaku Ahli Parlimen Marang berkata, bagi mengetengahkan budaya itu, Pas perlu menang dan memerintah kembali Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Pas akan bertanding 130 kerusi Parlimen, kerana untuk memerintah negara kita memerlukan 112 kerusi. Jika Pas boleh 112 kerusi Parlimen, Pas boleh memerintah negara.

“Kita minta orang Cina memberi kepercayaan kepada Pas, bukan sahaja di Terengganu bahkan di seluruh Malaysia.

“Kita (Pas) mahu menjadi sebuah parti kuat, gagah, boleh menghalang orang buat huru-hara, buat kacau dalam negeri kita ini,” jelasnya.

Abdul Hadi memberi jaminan sekiranya Pas diberi mandat memerintah Terengganu, beliau akan menghapuskan semula cukai pintu kediaman seperti mana ketika parti itu memerintah negeri itu pada 1999 hingga 2004.

“Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecil. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina, India dan Melayu.

“Di sana ada Kampung Baru Cina Bukit Berangan (Tepoh), ada Kampung Batu Lima, Dungun dan ada Kampung Air Putih, Kemaman. Mereka (orang Cina) dikurung oleh British dahulu.

“Walaupun (negara) kita telah merdeka, kerajaan tidak beri mereka geran tanah sehinggalah kita memerintah. Kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong,” katanya. – MalaysiaGazette