Abdul Khalid Ibrahim

CYBERJAYA – Syarikat milik kerajaan (GLC) yang mempunyai jumlah harta lebih RM1.4 bilion disaran menyumbang dua peratus daripada keuntungan syarikat untuk disalurkan kepada Institusi Waqaf.

Ketua Panel Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) Kebangsaan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika membuat saranan itu berkata, dengan sumbangan berkenaan dapat membantu usaha institusi itu memperkuatkan pengurusan wakaf di masjid seluruh negara.

Katanya, terdapat kira-kira 6,300 masjid di seluruh negara dan 67 masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan anggaran 19 juta umat Islam menggunakan rumah ibadat itu untuk beribadah setiap hari.

“Dengan sumbangan ini, kita dapat memakmurkan masjid dengan pelbagai program keagamaan, selain memperkukuhkan kewangan Islam tanpa perlu mengharapkan sumbangan daripada pihak lain.

“Dan GLC yang besar-besar ini pula digalakkan untuk menjadi institusi korporat nasional kepada masjid-masjid bagi menjayakan setiap usaha Institusi Waqaf mempertingkatkan jati diri umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan resolusi bagi Panel Ekonomi pada Ijtimak Majlis Perundingan Islam Kebangsaan 2018 di Al-Hijrah Big Studio di sini, hari ini.

Majlis pelancaran dan penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Abdul Khalid, Institusi Waqaf itu juga boleh ditubuhkan di universiti atau institusi kewangan terutama Bank Negara dengan menjadikan masjid sebagai pusat kewangan wakaf.

“Bagi memastikan institusi ini berjalan lancar, kerajaan boleh menubuhkan Yayasan Waqaf Malaysia dan diselia di bawah Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Perbadanan Waqaf Negeri-Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette