Sulaiman Abdul Razak

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan kepada rakyat ke mana baki wang jualan tanah rakyat di Ijok berjumlah kira-kira 700 juta digunakan.

Beliau yang terlibat secara langsung membela nasib peneroka tanah Ijok yang dirampas kerajaan negeri itu mendakwa, RM700 juta itu adalah baki daripada kira-kira RM1.1 bilion yang diperolehinya melalui penjualan tanah berkenaan kepada dua syarikat pemaju.

Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang penjelasan daripada menteri besar atau konco-konconya di mana baki lebih RM700 juta itu digunakan dan siapa yang dapat.

“Tak payahnya Mohamed Azmin nak pusing-pusing (putar belit). Cubalah jawab ke mana wang lebih RM700 juta lebih itu pergi… kepada dua syarikat pemaju yang beliau serahkan tanah itukah atau ke mana-mana pihak?

“Itu saja yang kita nak tahu. Saya dengar ucapannya, beliau kata rakyat boleh tengok dokumen dan macam-macam. Persoalannya, rakyat tak nak dengar itu, lagi pun bukan semua rakyat boleh tengok dokumen berkenaan.

“Saya ingat lagi, saya nak dapatkan dokumen tanah di Sungai Yu dulu pun saya kena ikut saluran melalui (sidang) Dewan Undangan Negeri. Bukan semudah itu,” tegasnya.

Katanya, cara Menteri Besar menguar-uarkan kepada rakyat mengenai isu tanah Ijok seolah orang awam boleh lihat dengan mudah “dokumen” berkenaan, padahal ia perlu peraturan dan prosedur yang ketat.

“Ini hanya retorik…jangan jadi penglipur laralah Mohamed Azmin,” jelas beliau.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Selangor kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabatnya, Sulaiman berkata, adakah pejabat pemaju yang didatangi pegawai SPRM itu pejabat Mohamed Azmin?

“Pada saya bila Mohamed Azmin kata SPRM serbu pejabat dia, ini sangat mendukacitakan apabila kenyataan itu datang dari seorang menteri besar, yang mana pejabat itu sebenarnya tidak diserbu.

“Saya tidak pasti pejabat pemaju yang ‘diserbu’ itu adalah pejabat dia juga, tapi pejabat Menteri Besar tidak diserbu. Azmin berbohong. Azmin memang suka membuat helah,” katanya. – MalaysiaGazette