KUALA LUMPUR: Semata-mata mahu mendapatkan sebuah telefon iPhone X, seorang gadis berumur 14 tahun sanggup melacur dan bersetubuh dengan 35 orang.

Pihak polis juga mendapati bahawa semakin ramai gadis bawah umur yang sanggup menjual badan kerana mahu mendapatkan barangan berjenama seperti telefon dan beg tangan.

China Press melaporkan, harga paling rendah untuk pelacur bawah umur adalah RM300 tetapi bayaran tersebut perlu dikongsi secara sama rata dengan bapa ayam.

Keadaan itu menyebabkan pelacur berkenaan hanya memperoleh RM150 untuk setiap urus niaga.

Demi memperoleh iPhone X yang mencecah RM5,000 sebuah, gadis yang mengidamkan telefon terkini itu perlu menjual badan lebih daripada 30 kali.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, sindiket pelacuran kini menggunakan kemudahan Internet untuk mengenal pasti gadis muda yang kekurangan duit poket untuk membeli barangan berjenama.

Katanya, golongan itu mudah dipengaruhi dan diperdaya oleh janji-janji manis daripada bapa ayam.

“Dalam operasi yang dijalankan pada tahun lalu, kami telah menemukan gadis bawah umur yang menjadi pelacur atau gadis eskort, umur paling kecil hanyalah 14 tahun,” katanya.

Beliau berkata, gadis berkenaan bukannya berasal daripada keluarga yang berdepan masalah kewangan atau dipaksa untuk melacur.

“Mereka melacur semata-mata mahu membeli telefon dan beg tangan berjenama,” katanya. – MalaysiaGazette