Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan wang dianggarkan lebih RM108.5 juta.

Sumber SPRM telah menerima maklumat terdapat pegawai di MISC Bhd. disyaki bersubahat dengan kontraktor-kontraktor mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan kapal-kapal milik MISC Bhd.

Tetapi kerja-kerja penyelenggaran kapal tersebut tidak dilaksanakan sejak tahun 2010 hingga tahun 2013.

“Susulan maklumat sumber, SPRM telah melakukan serbuan terhadap syarikat-syarikat berkaitan di ibu negara dan Johor pada 28 Februari lalu.

“SPRM juga telah merakam keterangan seramai sembilan orang saksi termasuk empat pegawai kanan MISC Bhd. serta merampas beberapa dokumen berkaitan,” menurut sumber itu.

Antara dakwaan yang disiasat SPRM ialah tuntutan pembayaran kos pembaikan tangki kapal bernilai USD $15.8 juta (RM61.6 juta) pada 2012 sedangkan anggaran awal hanyalah USD $7.9 juta (RM30.8 juta).

“Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan mengenai kerja penyelenggaraan kapal yang mengalami kerugian sebanyak USD $12 juta (RM46.8 juta) kerana proses perlantikan kontraktor tidak mengikut prosedur perolehan yang ditetapkan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan perkara itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana khuatir akan menganggu siasatan yang sedang dijalankan SPRM dalam perkara itu. – MalaysiaGazette