Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Tashid Shirlin berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Trafik di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 06 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Penularan maklumat serta gambar-gambar berkaitan masalah yang dihadapi pengguna di jalan raya menjadi faktor utama Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyelesaikan masalah dihadapi dengan segera.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, antara langkah yang menjadi isu utama adalah mobiliti dan keselamatan serta keselesaan sepanjang tempoh pembinaan atau semasa kerja dilaksanakan.

“Ledakan media sosial turut merubah landskap komunikasi dan penyampaian maklumat agensi sektor awam.

“Penggunaannya yang meluas dan mudah menjadikannya satu platform yang amat popular di kalangan pengguna jalan raya untuk menularkan isu–isu berkaitan dengan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena majlis Perasmian Seminar Pengurusan Trafik di Zon Pekerja – Pergerakan Mobiliti dan Keperluan Keselamatan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosnah berkata, Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan agensi–agensi di bawahnya mengambil tindakan inisiatif penambahbaikan pengurusan trafik di kawasan kerja.

Katanya, didalam menyediakan infrastruktur yang menyeluruh dan inklusif, impak negatif pelaksanaan projek ke atas pengguna jalan raya perlu dimitigasikan melalui pelaksanaan pengurusan trafik di kawasan kerja yang efektif dan berkesan.

Langkah itu katanya, mampu menjamin keselamatan dan keselesaaan pengguna jalan raya sepanjang tempoh pembinaan.

“Saya percaya peranan kita sebagai satu komuniti pembinaan yang memberi impak kepada rakyat serta terlibat secara langsung dengan pembangunan infrastruktur negara akan sentiasa memastikan amalan pengurusan trafik sewaktu pembinaan kekal relevan seiring dengan kemajuan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette