Maria Chin Abdullah

RAWANG – Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengingatkan bahawa bukan semua orang boleh mempertahankan kerusinya selepas aktivis Maria Chin Abdullah dikatakan akan ditawarkan PKR untuk bertanding di situ.

Maria yang sebelum ini sinonim dengan Bersih 2.0 dilaporkan akan bertanding di kerusi Parlimen Selayang, Batu, Petaling Jaya Selatan atau Kelana Jaya yang kesemuanya disandang wakil PKR pada masa ini.

Daripada empat kerusi di Selangor dan Kuala Lumpur itu, PKR dikatakan paling berkemungkinan menawarkan Selayang kepada Maria manakala kemungkinannya untuk bertanding di Petaling Jaya Selatan dan Batu dikatakan agak tipis.

Walaupun demikian, penyandang di Selayang juga mengesahkan niat untuk mempertahankan kerusinya selepas ramai pihak beranggapan beliau akan berundur.

William yang pernah menyatakan hasrat tidak bertanding kerana tidak puas hati dengan hubungan PKR dengan Pas telah menukar pendiriannya selepas mendapat pandangan penyokong.

William memberitahu Sinchew Daily, beliau mahu terus mempertahankan Selayang bagi berkhidmat untuk rakyat dan mengawasi hubungan PKR dengan Pas.

Berhubung ura-ura bahawa Maria akan menggantikannya untuk bertanding di Selayang, William berkata, pertarungan di Selayang bukan sesenang yang disangkakan.

“Penempatan calon adalah keputusan parti, tetapi parti harus tahu bahawa Selayang bukannya sesenang yang disangkakan dan bukannya setiap orang boleh menang,” katanya sambil menambah bahawa tidak pernah mendengar Maria akan menggantikan dirinya.

William sebaliknya berkata, pihaknya sedang giat melakukan persiapan pilihan raya termasuk mengadakan majlis-majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Selayang.

PKR mencapai kejayaan besar di Selayang dalam pilihan raya lalu didorong oleh sokongan daripada kawasan Rawang yang menyebabkan veteran MCA Selangor, Datuk Donald Lim kecundang di tangan William.

Kemenangan itu menyebabkan ramai melihat Rawang dan Selayang sebagai kawasan yang sangat selamat buat PKR. – MalaysiaGazette