Penerima MyKad, Slylish (kanan) dan adiknya Sarlish (kiri) bersama neneknya Chinnamma Arumugam (tengah) teruja selepas menerima dokumen pengenalan diri daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batang Kali di Hulu Selangor, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2018.

BATANG KALI – Nasib dua beradik yang berdepan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri sejak alam sekolah rendah akhirnya selesai.

Mereka menerima Mykad daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatan beliau ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Batang Kali hari ini.

Menurut Slylish 14, dia dan adiknya Sarlish, 13, berdepan masalah untuk meneruskan persekolahan kerana disoal tentang dokumen kelahiran yang tidak pernah dimohon ibu bapanya setiap hari.

“Kami duduk bersama nenek di Petaling Jaya dan bersekolah di SMK Seksyen 24/2 Shah Alam, namun hampir setiap hari tidak dapat fokus dalam pelajaran dan ini membimbangkan kami pada masa depan kerana kami tidak mempunyai MyKad.

“Nenek saya sentiasa risau dan telah mencari pihak yang boleh membantu kami. Tidak sangka masalah kami berjaya ditangani dan kami teruja menerima MyKad dari perdana menteri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Slylish dan Sarlish merupakan antara 16 penerima dokumen pengenalan diri hari ini.

Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau tapak binaan bilik prasekolah dan bilik darjah pintar yang dilengkapi jalur lebar di sekolah itu.

Pada lawatan itu, beliau diiringi Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam: Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan.

Sementara itu, nenek Slylish dan Sarlish, Chinnamma Arumugam berkata, beliau terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga kedua-dua cucunya itu sejak 10 tahun tahun.

“Ibu bapa mereka berpisah akibat masalah rumah tangga dan disebabkan perkahwinan mereka tidak didaftarkan secara sah, tempias itu terkena pada kedua-dua cucu ini.

“Saya menangis siang malam teringatkan nasib kedua-dua anak ini dan masa depan pendidikan mereka kerana sekolah memberi tekanan terhadap dokumentasi kerakyatan mereka.

“Bagaimanapun dengan inisiatif dan bantuan Pertubuhan bukan kerajaan DHRAA Malaysia, nasib kedua-dua anakj ini terbela dan kegembiraan terpancar di muka mereka,” katanya.

Pengarah Eksekutif DHRAA Malaysia, Nanthini Ramaloo berkata, pihaknya yang menyedari situasi kedua-dua anak malang itu telah mengambil langkah sewajarnya bagi menangani masalah mereka.

“Kami tidak mahu akademik anak-anak bijak ini terganggu disebabkan status kewarganegaraan dan membantu Slylish dan Sarlish mendapatkan sijil kelahiran terlebih dahulu disusuli myKad hari ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette