Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengecat blok bangunan sebagai gimik perasmian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Lembah Pantai di Dewan Orang Ramai, Perumahan Polis Desa Aman 1, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Semua berek dan bangunan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di Wilayah Persekutuan akan berwajah baharu apabila menerima peruntukan mengecat dan membaik pulih daripada kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut dilakukan dalam usaha menjaga kebajikan ahli keluarga dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Segala kerja naik taraf itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kita jangan datang waktu musim buah kerana itu sifat kelawar dan jangan datang waktu membajak kerana itu pesawah. Kita datang tidak kira musim dan kita bekerja untuk rakyat tanpa mengira hari besar atau tidak,” katanya ketika berucap pada
Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Penduduk Lembah Pantai di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, selain itu infrastruktur dan kemudahan asas di perumahan Desa Aman 1 dan 2 di Lembah Pantai turut akan dinaik taraf termasuk pemasangan penghawa dingin dewan dan penambahan lif baharu di kawasan perumahan tersebut.

Katanya, sebagai kerajaan yang prihatin BN sentiasa mendengar keluhan dan janji-janji yang dibuat tidak pernah diabaikan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu penduduk di kawasan Lembah Pantai memberi sokongan kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum akan datang supaya banyak lagi projek-projek pembangunan di kawasan itu dapat dilaksanakan. – MalaysiaGazette