Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) ketika hadir pada Majlis Perasmian Program Yayasan Pembangunan Gimnastik CIMB dan Meraikan Wanita Dalam Sukan sambil diiringi Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz (kiri) di Menara Bumiputera-Commerce, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 08 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu atau masyarakat di negara ini tidak akan terpinggir daripada arus pembangunan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kata beliau, kemiskinan seseorang individu atau keluarga bukan disebabkan pilihan mereka tetapi situasi semulajadi yang tidak dapat dielakkan.

“Tapi kita perlukan sistam yang sangat efektif untuk membela dan menyelamatkan golongan ini dan kerajaan telah pun melaksanakan dalam bentuk pelbagai bentuk untuk memastikan nasib mereka dijamin sejajar pembangunan negara.

“Saya fikir keseluruhan tanggapan, setiap lapisan masyarakat perlu memajukan diri secara berasingan, dan siste pasaran yang menjaga semua orang tidak menunjukkan bukti empirikal.

“Maka kerajaan memerlukan kerjasama lebih banyak organisasi atau yayasan yang boleh mengembleng tenaga bersama kerajaan untuk membantu golongan miskin supaya bangkit dan berdikari tanpa tercicir dalam pembangunan negara,” katanya dalam Program CIMB ‘Jom bersama ‘Najib Tun Razak’ di Menara Bumiputra Commerce petang tadi.

Hadir bersama Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Dalam ucapan sama, Najib juga menekankan pembangunan sama rata perlu disampaikan kepada golongan sasaran dan kerajaan sedang bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICS) dan sektor swasta untuk menggalakkan sumber baharu.

“Syarikat korporat seperti anda (Kumpulan CIMB) banyak melabur dalam sukan seperi berbasikal, golf, skuasy dan kini program pembangunan bakat baharu dan juara sukan gimnastik walaupun perniagaan utamanya ke arah perbankan.

“Ini contoh lebih banyak organisasi dan syarikat korporat tampil ke hadapan melabur dalam pembangunan modal insan,” ujarnya.

Dalam isu sama, Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, penyertaan golongan wanita secara maksimum dalam pembangunan negara juga harus diberi penekanan sewajarnya.

Kerajaan, katanya demi keseimbangan jantina menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam sektor perkhidmatan awam dan ia akan terus diperkasa.

Beliau pada majlis yang sama mengumumkan dasar baharu CIMB yang membenarkan kakitangan wanita CIMB yang bergelar ibu berkeluarga boleh bekerja dari rumah sehari dalam seminggu.

Malah Najib juga melancarkan Program Pembangunan Bakat baharu Gimnastik oleh Yayasan CIMB dengan kerjasama Persekutuan Gimnastik Malaysia selepas berjaya melabur dalam pencarian jaguh Skuasy, Golf dan berbasikal.- MalaysiaGazette