Home Utama Wan Ahmad Najmuddin tak perlu bercuti

Wan Ahmad Najmuddin tak perlu bercuti

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri di Pejabat KDN, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2018.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd akan dikekalkan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri itu berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan di peringkat kementerian baru-baru ini.

Kata beliau, Ketua Polis Negara tan Sri Muhamad Fuzi Harun sudah meneliti segala dokumen jual beli rumah yang diserahkan Wan Ahmad Najmuddin dalam hal itu.

Malah katanya, Timbalan Ketua Polis Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dalam kenyataan sebelum ini juga telah menjelaskan Wan Ahmad Najmuddin telah memberikan maklumat benar dalam hal tersebut.

“Wan Najmuddin sendiri sudah menjelaskan mengenai seluruh proses yang berlaku dalam pembiayaan pendidikan anaknya di luar negara.

“Kami mengambil segala penjelasan yang diberikan beliau sebagai benar dan percaya segala keterangan itu berdasarkan bukti.

“Maka, saya rasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau mana mana agensi yang ingin menyiasat, boleh menyiasat tetapi Wan Najmuddin perlu terus kekal dalam tugas dan tidak perlu bercuti sebab dia megikuti prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media di bangunan KDN di sini.

Beliau berkata demikian selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 yang turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim di sini.

Beliau diminta mengulas demikian selepas ditanya mengenai perkembangan kes itu.

Kelmarin, SPRM membuka kertas siasatan berhubung wang berjumlah AUD$320,000 (RM972,000) dalam sebuah akaun bank dibekukan di Australia milik Wan Najmuddin.

Sehubungan itu, beberapa pihak termasuk pihak pembangkang mendesak Wan Najmuddin supaya digantung tugas sementara siasatan terhadapnya sedang dijalankan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media sebelum ini menjelaskan wang dalam akaun bank milik Wan Najmuddin adalah dari sumber yang sah.- MalaysiaGazette