Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

BANGI – Meskipun belum diluluskan lagi permohonan untuk boleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) namun pakatan pembangkang didakwa ‘beria-ia’ mahu Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) menjadi sebahagian daripada parti komponen mereka.

Pendedahan itu dibuat oleh Presiden Pekira, Mohd. Ridzuan Abdullah, apabila mendakwa beliau telah dikunjungi lebih tiga kali oleh beberapa individu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sejak tahun lepas.

Katanya, individu-individu terbabit yang merupakan orang berpengaruh dalam parti itu telah meletakkan harapan tinggi terhadap Pekira agar beralih arah daripada menyokong Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

“Mereka berharap agar Pekira ini bergabung dengan PH untuk menjadi kuat dalam menentang BN.

“Mereka tahu Pekira mempunyai keahlian yang ramai dan disebabkan itu mereka cuba untuk buat cara ini (memujuk).

“Setakat ini jumlah habuan tak bincang dan mereka cuma merisik dahulu,” katanya tanpa mendedahkan individu terbabit serta jumlah wang yang ditawarkan sekiranya berlaku sogokan.

Bagaimanapun Ridzuan berkata, sebagai sebuah parti baharu, Pekira tidak menolak mentah-mentah pelawaan individu berkenaan sebaliknya membuka peluang kepada perbincangan dengan wakil pembangkang.

Dalam pada itu, mengulas mengenai permohonan parti tersebut dengan RoS, Ridzuan berkata, permohonan parti pimpinannya tersekat ekoran ada pihak tidak menggemarinya.

Bagaimanapun katanya, beliau akan tetap memastikan seramai 25,000 ahli yang berdaftar dengan parti itu akan menyokong BN pada PRU-14 nanti.

Bagi tujuan tersebut, Ridzuan turut memohon BN menyalur ‘dana’ kepada Pekira agar segala gerak kerja yang dirancang akan dapat berjalan dengan teratur.

“Sehingga hari ini, Pekira telah membelanjakan sebanyak RM1.5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja membangunkan usahawan serta membantu BN sejak sembilan bulan yang lalu.

“Kita dah buat gerak kerja bersama jentera seluruh Malaysia di peringkat negeri dan bahagian,” ujarnya. – MalaysiaGazette