Ahli perniagaan, G. Gnanaraja diiringi pegawai SPRM ketika keluar dari Mahkamah Majistret berhubung kes rasuah di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 10 MAC 2018.

PUTRAJAYA – Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang ditahan reman selepas dipercayai terlibat menerima ‘suapan’ sebanyak RM19 juta bagi menutup siasatan kes terowong dasar laut Pulau Pinang dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM150,000 sebentar tadi.

Majistret Lee Hong Shi membenarkan suspek itu yang merupakan suami kepada seorang pemimpin pertubuhan  wanita dibebaskan juga dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dipercayai telah merayu supaya wang jaminan yang sepatutnya dikenakan ke atasnya sebanyak RM300,000 itu di kurangkan kepada RM150,000 berikutan pelbagai komitmen keluarga yang terpaksa di tanggung olehnya.

Hakim kemudian membenarkan jumlah tersebut dikurangkan tetapi suspek perlu melaporkan diri kepada SPRM sebulan sekali sehingga kesnya di bawa ke mahkamah.

Suspek yang berusia 37 tahun yang mendakwa dirinya mempunyai hubungan rapat dengan beberapa ahli korporat dan ahli politik berpengaruh di negara ini ditahan reman sejak 28 Februari lepas.

Dengan menggunakan alasan tersebut, suspek telah mengadakan pertemuan dengan seorang pengarah syarikat pembinaan yang ketika itu sedang disiasat SPRM sebelum menawarkan bantuan untuk menutup kes tersebut dengan ‘bayaran’ tertentu.

Menurut sumber, syarikat berkenaan kemudian membayar suspek sebanyak RM19 juta secara berperingkat pada Julai dan Ogos tahun lalu.

“SPRM menjalankan siasatan terhadap kajian projek mega di Pulau Pinang itu dan suspek berkemungkinan menyakinkan syarikat pembinaan utama itu bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

“Pembayaran sebanyak RM19 juta sudah dilakukan dengan pembayaran pertama sebanyak RM2 juta pada Julai tahun lalu di rumah suspek itu sendiri.

“Bayaran kedua melibatkan RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dengan disusuli pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos lalu,” kata satu kenyataan SPRM baru-baru ini.

Suspek yang baru-baru ini juga mendakwa dirinya pelakon lelaki filem tempatan berbahasa Tamil mengejutkan pelbagai pihak dengan mengeluarkan trailer filem ‘bajet tinggi’ selain kerap menaja peraduan ratu cantik serta fesyen.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan membuat pendedahan mengejutkan semalam di laman sosial Facebook beliau apabila memaparkan gambar Ketua Mneteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama suspek tahun lalu.

Menurut Cheng Guan, gambar tersebut yang diambil di kediaman suspek di Kuala Lumpur selepas transaksi sebanyak RM19 juta di salurkan ke akuan suspek.

Setakat ini, Guan Eng belum tampil memberi apa-apa komen berhubung dakwaan tersebut dan gambar tersebut menjadi ‘viral’ sejak semalam.

Sebelum ini, projek berkenaan yang dianggarkan bernilai hampir RM6.3 bilion itu menerima bantahan pelbagai pihak dan mencetuskan pelbagai kontroversi termasuk wujudnya elemen rasuah dalam kos pembayaran dan serta kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran tanah oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP di lihat seperti biasa banyak membisukan diri selain daripada berterusan menuding kepada kerajaan pusat berhubung kontroversi yang di cipta olehnya sendiri.