Guan Eng ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat tidak menunjukkan keyakinan bahawa Pakatan Harapan (PH) mampu menakluki Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu dapat dilihat menerusi isyarat tubuhnya yang lemah ketika beliau berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto PH pada Jumaat lalu, kata penganalisis sosio-politik serantau dan pensyarah pelawat di pusat pengajian pasca siswazah UIA, Dr Baharuddin Aziz.

Malah, bukan sahaja Guan Eng, sebaliknya sebahagian pemimpin pembangkang yang mengambil bahagian berucap pada malam tersebut turut dilihat berkelakuan sama, katanya.

“Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng umpamanya, seolah-olah tertekan dan tidak memperagakan keyakinan yang tinggi.

“Beliau sedar bahawa isu atau skandal terowong sedang menghantui beliau”, katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah haru lagi, kata beliau, apabila Guan Eng dalam ucapannya turut bercakap mengenai CAT (Competency, Accountability, Transparency) sedangkan dirinya
terpalit dengan skandal terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Dr Baharuddin Aziz

“Dari sudut psikografik, ini merupkan satu petanda yang tidak baik untuk Ketua Menteri Pulau Pinang itu”, ujarnya.

Tambah beliau, isu besar seperti itu seolah-olah telah memberi satu isyarat bahawa rakyat Pulau Pinang dan penyokong DAP sendiri sanggup melihat Guan Eng dipulaukan atau dipinggirkan kerana telah melakukan sesuatu yang mungkar.

Bagaimanapun katanya, mereka belum lagi dapat menerima hakikat bahawa DAP patut disingkirkan sama sekali daripada memegang kuasa di Pulau Pinang.

“Guan Eng…Ya…DAP belum lagi. Hal ini kita serah kepada rakyat dan para pengundi Pulau Pinang untuk membuat keputusan sedemikian”, tambah beliau.

Baharuddin mendakwa, isu penyelewengan terowong kini menjadi lebih kusut dan membuka vista baharu apabila seorang ahli perniagaan, G. Gnanaraj yang kononnya bergelar ‘Datuk Seri’ dipercayai menerima wang sebanyak RM19 juta daripada syarikat pembina terowong sebagai menutup kes tersebut daripada terus disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Beliau beria-ia bercakap tentang CAT pada malam pelancaran manifesto, tapi dalam pada itu beliau (Guan Eng) dikatakan berjumpa dengan orang tengah ini untuk menentukan bahawa kes ini tidak disiasat dan terus ditutup oleh SPRM.

“Ini merupakan satu perbuatan yang tak beretika oleh syarikat yang ada kaitan dengan projek tersebut, iaitu Penang Tunnel SPV/Zenith. Syarikat ini juga boleh didakwa menurut perundangan negara.

“Apa pun, liku-liku kes ini telah memasuki dimensi baharu apabila ‘Datuk Seri’ ini telah dilepaskan daripada tahanan reman berserta ikat jamin sebanyak RM 150,000 oleh Mahkamah Majistret, Istana Kehakiman, Putrajaya,” tegasnya.

Baharuddin menambah, Guan Eng telah meninggalkan majlis pelancaran manifesto itu lebih awal, dipercayai bagi mengelak daripada ditemui wartawan yang hadir pada malam itu. – MalaysiaGazette