Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan sebahagian perwakilan yang hadir pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Bandar Tun Razak di Laman Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar seolah-olah sudah mendapat ‘restu’ untuk menjadi bakal calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bayangan itu mula dirasai apabila beliau sentiasa mendapat tepukan dan sorakan yang luar biasa pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya & Dry Run Bandar Tun Razak malam ini.

Penyokong BN yang hadir tidak berhenti-henti menjerit sehingga suasana kadangkala tidak dapat dikawal pengerusi majlis.

Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir melancarkan majlis itu secara terbuka menyifatkan Rizalman sebagai hero Bandar Tun Razak.

“Ini masa BN rampas semula Parlimen ini dan hero kita adalah Datuk Rizalman,” katanya.

Pujian itu mendapat sorakan gemuruh malah hadirin yang hadir tidak henti menjerit-jerit nama Rizalman.

Ahmad Zahid juga secara berseloroh mengusik Pengerusi BN Bandar Tun Razak dari MCA, Chew Yin Keen agar kerap bertemu masyarakat.

Beliau turut berkata sudah dua PRU sebelum ini MCA diberi peluang bertanding di Parlimen itu.

“Tapi siapa yang buat kerja?,” soalnya dan hadirin yang datang menjawab;”UMNO!”

Sementara itu, Rizalman dalam ucapannya berjanji BN akan merampas semula kerusi Parlimen Bandar Tun Razak selepas dipinjamkan sembilan tahun kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sudah cukup sembilan tahun kita menderita, kena tipu PKR, tiada wakil rakyat, kini muncul pula Pakatan Harapan (PH). Adakah kita hendak percaya janji-janji mereka?

“Jangan sesekali terpedaya dan semangat kita tinggi malam ini. Jadi tidak ada makna kalau tidak tawan BTR pada PRU-14.

“Biar PH menipu rakyat. Tugas kita bawa kemenangan dan sebar kebenaran serta sedarkan rakyat hanya BN sahaja menjaga kebajikan rakyat.

“Saya boleh janji depan TPM akan kekal satu Parlimen untuk kekal sebagai TPM, Datuk Seri Najib sebagai PM, boleh janji Tengku Adnan kekal sebagai menteri,” katanya. – MalaysiaGazette