Home Nasional Terima kasih kerajaan – Cuepacs

Terima kasih kerajaan – Cuepacs

Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Kerajaan (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana masih berusaha meningkatkan elaun sukarelawan awam meskipun pada saat-saat akhir penggal pemerintahan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, Cuepacs cukup terharu dengan keprihatinan dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melunaskan janji-janji Kerajaan Barisan Nasional.

“Terima kasih Perdana Menteri. Sudah tentu dengan kenaikan elaun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan meningkatkan motivasi mereka, selain mengurangkan beban hidup akibat kenaikan kos sara hidup.

“Kenaikan ini bukan sahaja berita kepada anggota RELA dan APM tetapi juga seluruh keluarga mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas mengenai kenaikan elaun RELA daripada RM6 sejam kepada RM8 sejam manakala elaun pegawai RELA pula dinaikkan daripada RM7.80 sejam ke RM9.80 sejam.

Selain itu, RELA turut mendapat peruntukan tambahan uniform digital baharu sebanyak RM20 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan elaun anggota dan pegawai APM, masing-masing daripada RM6 kepada RM8 sejam dan RM7.80 kepada RM9.80 sejam baru-baru ini.

Kenaikan itu akan memberi manfaat kepada 2.1 juta anggota dan pegawai APM di seluruh negara.

Azih berkata, kenaikan itu bukan bersifat politik atau kelangsungan kerajaan sedia ada tetapi merupakan bukti bahawa Perdana Menteri sentiasa mendengar rungutan dan rintihan rakyat.

“Bagi saya ini adalah penghargaan kerajaan kepada RELA dan APM,” ujarnya. – MalaysiaGazette