SHAH ALAM, 13 Feb -- Penguasa Marin Mohd Nazri Mohamad Yusof, 40, hari ini, menunjukkan laporan bedah siasat dan surat pemberitahuan kematian anak bongsunya, Wan Naufal Afeef, 11 bulan, yang kematiannya diklasifikasi sebagai 'tidak diketahui' oleh sebuah hospital swasta pada 2016. Beliau memohon pembelaan apabila punca kematian 'tidak diketahui' berkenaan sukar diterima memandangkan anaknya itu ditahan di hospital swasta tersebut hanya kerana demam malah tiada rekod kesihatan yang teruk sebelum ini. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM – Seorang bapa yang kematian anak lelakinya di sebuah hospital swasta dua tahun lepas merayu pihak berkaitan termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam agar campur tangan bagi merungkai punca sebenar kematian anaknya.

Mohd Nazri Mohamad Yusof, 40, berkata ia berikutan tiada pihak yang tampil bagi membantu menyelesaikan perkara itu menyebabkan beliau gagal mendapatkan surat kematian anaknya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Dalam tempoh dua tahun sejak kematian Wan Naufal Afeef, pihak saya telah membuat aduan termasuk menghantar surat kepada pelbagai agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) bagi membantu saya mencari jawapan punca kematian anak saya.

“Namun sehingga hari ini semua pihak berdiam diri… surat yang dihantar juga tidak mendapat sebarang respons dan disebabkan itu saya juga tidak boleh mendapatkan surat perakuan kematian anak bongsu saya itu daripada pihak JPN,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wan Naufal Afeef dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini pada 9 Julai 2016 kerana demam dan meninggal dunia enam hari kemudian dengan sebab kematian dinyatakan sebagai ‘tidak diketahui’.-BERNAMA