Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar kenangan bersama Pasukan Hoki Wanita PDRM pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan PDRM Night Run 2018 dan majlis Penghargaan Pasukan Hoki Wanita PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengumpul sumbangan tajaan lebih RM300,000 setakat ini menjelang Acara Nite Run PDRM 2018 pada 17 Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yakin mencapai sasaran tajaan RM1 juta oleh PDRM tidak lama lagi.

“Kita akan menggunakan dana menerusi penajaan ini dan akan memasukkan dalam Tabung Amanah Warisan Polis untuk kegunaan kebajikan pegawai dan anggota polis bersara.

“Lumba lari waktu malam pada 17 Mac ini dijangkakan peserta tidak kurang daripada 10,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Cek Sumbangan PDRM oleh penaja-penaja kepada Night Run 2018 dan Penghargaan Pasukan Hoki Wanita PDRM hari ini.

Syarikat Pemaju gergasi negara YTL Corporation Berhad antara penaja utama yang tampil menjadi penajaan perlumbaan anjuran PDRM kali ini.

Mohamad Fuzi dalam perkembangan berkaitan menjelaskan, Night Run kali ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (km), 10 km 15 km untuk anggota dan orang ramai.

“Pemenang setiap kategori Night RUN PDRM akan menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000, cabutan bertuah berupa motosikal, telefon bimbit dan pelbagai hadiah menarik,” katanya. – MalaysiaGazette