Home Utama Selangor tidak letak harga hendak beli Splash – Maximus

Selangor tidak letak harga hendak beli Splash – Maximus

Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Salah kerajaan Selangor yang tidak meletak nilai untuk membeli Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor (Splash) Sdn Bhd.

Tindakan itu menjadi punca kelewatan pengambilalihan Splash sehingga timbul isu gangguan bekalan air di Selangor.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kegagalan kerajaan negeri Selangor itu menyebabkan pengambilalihan tersebut ditanggguh sebanyak tiga kali dan terbaharu sehingga Julai 2018.

“Ini menyebabkan pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian terpaksa melanjutkan tempoh pengambilalihan sebanyak tiga kali dan terakhir dilanjutkan adalah sehingga Julai 2018 berikutan kegagalan kerajaan Selangor menyatakan nilai untuk membeli Splash.

“Keputusan mengambil sepenuhnya Splash terletak di bahu kerajaan Selangor berdasarkan perjanjian ditandatangani,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) yang bertanya mengenai punca kelewatan pengambilalihan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Minggu lalu, beberapa kawasan di Lembah Klang terputus bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Splash sebagai punca berlakunya masalah tersebut kerana tidak menyelenggara dengan baik dan menyalahkan kerajaan pusat sebagai punca kerajaan negeri tidak dapat membeli Splash.

Bagaimanapun, Maximus menjelaskan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk masuk campur dalam isu pengambilalihan Splash dan Kerajaan Selangor yang sepatutnya meletak harga untuk membeli syarikat tersebut.

“Kerajaan Persekutuan tidak ada kuasa dan tidak ada bercadang untuk masuk campur bagi menentukan nilai yang saksama kerana Kerajaan Selangor mahu menawarkan kepada Splash berdasarkan suka sama suka (willing buyer willing seller).

“Oleh yang demikian tidak wajar Kerajaan Persekutuan dituduh, dipersalahkan dalam isu pengurusan pemgambilalihan ini sedangkan Kerajaan Selangor yang menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk menyalahkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga tidak faham dengan tindakan Azmin yang tidak mahu meletak harga untuk membeli Splash sebagaimana pernah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Kenapa Menteri Besar Selangor takut untuk ikut langkah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak (Khalid) untuk menentukan harga. Konsepnya pihak kerajaan negeri yang nak beli aset itu perlu meletakkan harga yang mereka hendak beli,” ujarnya. – MalaysiaGazette