Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak akan mengubah kebanyakan keputusan yang telah dibuat jika diberi peluang untuk kembali ke masa lampau.

Namun begitu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak akan memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pertimbangan politik.

Ditanya mengenai keputusan yang silap semasa menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata, “tidak harus mematuhi undang-undang secara sepenuhnya.”

“Keputusan yang silap ialah mengikuti undang-undang secara sepenuhnya, saya fikir saya tidak patut mengambil tindakan ke atas Anwar,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Beliau berkata, isu Anwar yang mengalami lebam pada mata menyebabkan berlaku gelombang reformasi yang menjurus kepada kehilangan 300,000 undi Melayu.

“Dalam keadaan tertentu, saya tiada pilihan. Saya terpaksa membuat keputusan yang mengundang kemarahan orang.

“Sekarang saya baru tahu, mungkin saya patut melupakan keadilan yakni tidak mengambil tindakan atas pertimbangan politik,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, walaupun sering kali dilabelkan sebagai diktator, tetapi beliau sebenarnya sering mendapat nasihat orang lain.

Beliau memberi contoh, mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO telah dipanggil semasa Tun Musa Hitam meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Walaupun saya tidak berharap Tun Musa akan kembali, tetapi mesyuarat bersetuju supaya wakil dihantar untuk memujuk beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan