Home Utama Najib ajak penjawat awam tolak DAP, Pakatan Harapan

Najib ajak penjawat awam tolak DAP, Pakatan Harapan

Najib Razak ketika menyampaikan ucapannya pada program Bajet 2018 Bersama Penjawat Awam di Ipoh, hari ini.

KUALA LUMPUR –Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau masih tidak boleh melupakan penghinaan beberapa pemimpin DAP terhadap penjawat awam kira-kira dua tahun lalu.

Menurut Perdana Menteri, walaupun Pengerusi Publisiti DAP, Tony Pua hanya menyindir, tetapi sindiran itu adalah satu penghinaan apabila pemimpin parti cauvinis itu mahu penjawat awam tinggal sahaja di rumah dan dibayar upah mereka.

Katanya, tidak cukup dengan itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menyebut penjawat awam di negara ini adalah paling ramai di dunia dan tentunya ia merupakan satu pembaziran wang rakyat.

“DAP dah hina penjawat awam, takkan kita nak duduk diam. Bila orang hina kita, kita kena lawan balik. Di mana semangat orang Melayu terdahulu yang melawan Residen British pertama di Perak, J.W.W Birch?

“Saya percaya semangat itu tak hilang dalam kalangan penjawat awam di Perak,” katanya pada program Najib Razak Bajet 2018 Bersama Rakyat: Penjawat Awam di Ipoh, Perak, hari ini.

Menurut Najib, di bawah kepimpinannya, beliau mahu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penjawat awam dengan memastikan mereka dapat menikmati dan mengecapi ekonomi negara seadilnya.

Katanya, beliau mahu setiap kakitangan awam memiliki rumah mampu milik, kerajaan menyediakan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M yang berkualiti.

“Ada satu projek PPA1M yang saya dapati ada sedikit kecacatan, saya minta kontraktor baiki supaya rumah itu benar-benar berkualiti.

“Saya mahu berlaku adil dengan penjawat awam sebab mereka adalah tiang seri kepada kerajaan. Bukan seperti yang sebelah sana (Pakatan Harapan)… (janji dalam manifesto PRU 14) itu tak boleh pakai.

“Secara logik akalnya, tidak ada dalam negara di dunia ini pilih orang yang berusia 93 tahun jadi ketua negara. Kita nak negara kita ada masa depan, dan masa depan itu bukan dalam tangan orang yang berusia 93 tahun,” katanya.

Beliau turut memuji kerjasama baik kerajaan Perak bawah Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kita ada team yang baik. Persekutuan dengan kerajaan negeri. Kalau lain parti, susahlah. Jangan jadi macam air di Selangor, Pakatan Harapan boleh undi rakyat, rakyat pula dapat baldi (akibat masalah bekalan air),” katanya. – MalaysiaGazette