Home Ekonomi Pembeli rumah SPNB boleh dapat jaminan SJKP

Pembeli rumah SPNB boleh dapat jaminan SJKP

Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR- Ketidakberkesanan program jaminan perumahan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang dijalankan dengan institusi kewangan bagi melicinkan proses pemilikan rumah di bawah harga RM300,000 mendorong

kerajaan memeterai perjanjian dengan Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebelum ini skim itu memerlukan para peminjam berhubung secara langsung dengan pihak bank tetapi selepas mendapati tiada keberkesanan di dalam program tersebut, kerajaan berpendapat, lebih baik sekiranya perkara ini diuruskan oleh SPNB bagi mengurangkan birokrasi.

Sejak dilancarkan pada 2008, hanya RM300 juta pinjaman sahaja yang telah diberi jaminan oleh SJKP.

“Kebanyakan kes adalah melibatkan golongan yang bekerja sendiri atau usahawan kecil yang mungkin mempunyai pendapatan sekitar RM5,000 atau RM6,000 sebulan tetapi tiada slip gaji atau penyata kewangan.

“Mereka berkemampuan untuk membeli rumah berkenaan tetapi tidak mempunyai bukti sokongan dari segi kewangan sedangkan bank-bank pula memerlukan semua bukti tersebut.

“Jadi melalui kerjasama ini, kerajaan bagi jaminan kepada pembelian tersebut dan seterusnya memberi keyakinan kepada pihak bank untuk meluluskan pinjaman,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama dengan institusi kewangan dan SJKP di sini hari ini.

Antara bank yang mengambil bahagian adalah Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Maybank, dan Bank Islam.

Sejumlah RM200 juta diperuntukkan untuk skim jaminan perumahan SJKP ini dan keutamaan peruntukan akan diberi kepada pembeli rumah SPNB.

Jelas Johari, melalui kerjasama tersebut, golongan sasar akan menerima manfaat seperti permohonan pinjaman berpusat yang mana pembeli hanya perlu membayar deposit untuk satu bulan sahaja.

Ia juga akan mengurangkan kadar penolakan pinjaman daripada pinjaman oleh institusi kewangan kerana SJKP akan menjadi penjamin kepada pembeli.

Pembeli yang mempunyai pendapatan boleh guna bersih (NDI) serendah RM1,000 layak untuk menyertai program ini.

“Kerajaan mempercayai pembeli. Lagipun proses pernilaian akan dibuat oleh SPNB, sekiranya dia mempunyai pendapatan boleh guna RM1,000 tetapi selepas ditolak dengan komitmen lain bakinya cuma RM200, bagaimana dia hendak membayar ansuran rumah tersebut walaupun telah diberi jaminan oleh kerajaan?

“Skim ini adalah untuk membantu golongan yang ada kemampuan untuk membeli rumah berharga di bawah RM300,000 tetapi permohonan mereka mungkin akan ditolak oleh pihak bank kerana tidak cukup dokumen seperti tiada slip gaji atau penyata kewangan,” katanya lagi.

Tambah Johari, peruntukan skim jaminan perumahan SJKP sebanyak RM200 juta itu adalah bersifat berulang dan akan ditambah setiap kali dananya habis.-MalaysiaGazette