Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan, Thanabalan mati di lokap
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan meninggal dunia Rabu lalu di Miri, Sarawak kerana disyaki dijangkiti difteria.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak tersebut tidak mendapat pelalian bagi difteria sejak lahir kerana keengganan keluarga atas dasar kepercayaan agama.

Mangsa mula mengalami gejala demam, batuk, selesema dan kesukaran bernafas tujuh hari sebelumnya.

“Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa pelalian difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan ini dan sekiranya dijangkiti, gejala adalah ringan dan tiada komplikasi.

“Justeru, ibu bapa dan masyarakat diseru untuk memastikan anak-anak di bawah umur tahun tahun diberikan imunisasi yang lengkap.

“KKM ingin mengingatkan sekiranya terdapat tanda dan gejala seperti demam, sakit tekak atau kesukaran menelan, atau bengkak leher, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sepanjang tahun 2017, 32 kes positif difteria telah dilaporkan di seluruh Malaysia dengan tujuh (22 peratus) kematian.

Majoriti (75 peratus) dari kes dan kematian ini adalah dari komuniti yang menolak pelalian.

Pemberian pelalian difteria yang lengkap pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan mampu mencegah dari penyakit ini.

Tambah Noor Hisham, kanak-kanak yang tidak diberikan pelalian difteria boleh dijangkiti bakteria Corynebacterium diphtheria yang disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak (tonsil dan farink).

Bakteria ini akan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan mangsa sukar bernafas.

Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).

Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi, kata Dr. Noor Hisham.-MalaysiaGazette