PR1MA

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merancang untuk melancarkan rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7.5 bilion di Sabah.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, PR1MA berkata, projek berkenaan telah pun diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA.

Ini menjadikan Sabah sebagai negeri kedua mempunyai projek PR1MA yang paling banyak memiliki projek pembangunan yang telah diluluskan.

Katanya, terdapat kira-kira 30,155 unit rumah PR1MA yang sedia direbut semasa Ekspo Jualan Perumahan- Ke Arah Sejuta Impian di Sabah pada 15 sehingga 19 Mac ini.

Tambahnya, PR1MA akan mempamerkan 27 projeknya di seluruh Malaysia dan ekspo itu akan diadakan di seluruh negara dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur menjadi lokasi paling besar ianya diadakan.

Ekspo di PWTC dijangka diadakan pada 14 Mac sehingga 1 April 2018.

Dalam pada itu, 42,000 unit kediaman akan dipamerkan dan dibuka untuk jualan di Pusat Dagangan Sabah.

Tambahnya, 16,000 unit ditawarkan semasa ekspo tersebut berharga di bawah RM300,000, jauh lebih rendah berbanding harga purata rumah iaitu RM400,000.-MalaysiaGazette