Ketua MCA merangkap Pengerusi BN Pandan, Datuk Leong Kok Wee (kiri) bercakap pada sidang media berhubung aduan mengenai kenyataan Rafizi Ramli yang berbaur penghinaan terhadap pengundi Pandan di pejabat MCA Pandan, Ampang, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 16 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dianggap telah menghina para pengundi di kawasannya apabila mengatakan ‘letak kucing pada Pilihan Raya Umum (PRU) pun PKR boleh menang’.

Pengerusi MCA dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee berkata, kenyataan Rafizi itu sudah melampau apabila menyamakan pengundinya sebagai haiwan.

Malah, kata-katanya itu jelas menunjukkan pemimpin PKR itu seorang pemimpin yang angkuh sehingga sanggup melabel pengundinya sedemikian rupa.

“Kami penduduk dan pengundi di kawasan Pandan berasa sungguh marah dan kecewa dengan kata-kata begitu.

“Rafizi telah menghina dan menyinggung perasaan penduduk di kawasan ini. Sebagai wakil rakyat dia tidak sepatutnya bercakap seperti itu.

“Inilah dia seorang pemimpin yang sombong dan telah meremehkan kebijaksanaan pengundi-pengundinya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu Kok Wee juga menerima banyak aduan dan rungutan daripada masyarakat di sekitar Pandan berhubung sikap Rafizi yang sambil lewa menggalas tanggungjawabnya.

Menurutnya, banyak aduan diterima oleh MCA kawasan berkenaan bukan sahaja datang daripada masyarakat Cina malah ada juga penduduk Melayu.

“Rafizi kena tahu dalam tempoh lima tahun dia sebagai wakil rakyat di kawasan Pandan ini, ramai yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatannya.

“Banyak perkara yang berlaku di kawasan Pandan dan namun, tidak ada satu pun yang dapat diselesaikan.

“Sebagai contoh, pembinaan gudang besar di Taman Putra serta penyewaan dewan orang ramai di taman yang sama tidak juga diambil peduli olehnya,” ujarnya.

Tambah Kok Wee, banyak lagi perkara yang tidak dapat diselesaikan oleh wakil rakyat tersebut yang kelibatnya juga jarang dilihat bertemu dengan penduduk.

Ujarnya, Rafizi tidak wajar lagi diangkat oleh penduduk Pandan sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan kerana reputasinya yang teruk ditambah pula dengan sifat sombong pada dirinya.

Katanya lagi, sudah tiba masa para pengundi di kawasan berkenaan membuat pilihan lain para PRU-14 akan datang dengan tidak membenarkan lagi wakil rakyat mereka itu membuat penghinaan yang lebih menyakitkan hati. – MalaysiaGazette