Veteran politik, Tan Sri Rais Yatim berkata, tidak molek untuk kes seperti ini dibiarkan tertangguh sehingga enam bulan kerana akan meremehkan sistem perundangan negara.
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Hanya kerana mahu Jho Low disiasat, Tan Sri Dr. Rais Yatim didesak oleh seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz supaya meletakkan jawatan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan.

Bagaimanapun, Rais tidak akan tunduk dengan desakan itu.

Beliau hanya akan berbuat demikian melainkan jika diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Dalam status Twitternya semalam, veteran UMNO itu memberitahu, dia hanya mencadangkan supaya Jho Low disiasat tetapi ada pihak di JASA ‘kelam kabut’ dengan kenyataannya itu.

Dr. Rais menjawab cadangan seorang pegawai JASA memintanya meletakkan jawatan dan menyifatkan pegawai itu sebagau tali barut.

“Pegawai JASA, Tun Faisal gesa saya letak jawatan sebagai penasihat kerajaan. Saya cuma cadang Jho Low disiasat. Macam nak runtuh langit.

“Kalau PM isyaratkan (letak jawatan) baru saya bersara. Tapi sabarlah Tun Faisal, saya dah berhubung dengan PM. Biarlah beliau yang putuskan.

“(Peletakan jawatan) ini tak boleh diputuskn oleh tali barut,” katanya membalas kenyataan pegawai JASA itu.

Semalam, Tun Faisal membuat kenyataan dalam sebuah portal mesra pembangkang mendesak Rais meletakkan jawatan.

“Tolong letak jawatan jika anda tidak boleh bertindak seperti seorang menteri, dan gunakan saluran yang betul,” kata Tun Faisal yang ditujukan kepada Rais. – MalaysiaGazette