Ahmad Zahid Hamidiketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Terbuka Kompleks Uthmaniah hari ini. --fotoBERNAMA

PASIR PUTEH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk Barisan Nasional (BN) kembali mentadbir Kelantan kerana parti pembangkang berada dalam keadaan ‘kuca bojeng’ atau bercelaru.

Naib Presiden UMNO itu yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti berkata, oleh itu beliau mahu jentera Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) BN bekerja keras bagi memastikan bukan sahaja Kelantan kembali ke pangkuan BN, malah menambah kerusi BN di Dewan Rakyat kepada dua pertiga.

“Inilah waktu terbaik untuk kita mengharap semula sokongan rakyat di Pasir Puteh (dan Kelantan) kerana pihak di sana (pembangkang) berada dalam keadaan ‘kuca bojeng’. Kita ucapkan selamat tinggal kepada parti-parti ‘kuca bojeng’. Ini masa untuk UMNO, ini masa untuk BN!

“Kita tak mahu (menang hanya) lima kerusi Parlimen (di Kelantan). Kita perlu naikkan kerusi Parlimen (di Kelantan) supaya kita dapat lebih dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Rakyat dan Pelancaran Jentera PRU14 Parlimen Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah di Kampung Pulau Lima di sini, hari ini.

Hadir sama, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan bahawa Mustapa mampu membawa perubahan di Kelantan jika BN diberi peluang untuk kembali mentadbir negeri itu.

“Saya amat yakin Tok Pa (Mustapa), Insya-Allah bakal memimpin kerajaan baharu di Kelantan ini. Tok Pa saya akan bantu, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga akan bantu, Ketua-ketua UMNO bahagian akan bantu pastikan kita ambil alih Kelantan di bawah panji-panji BN.

“Insya-Allah, Semerak akan jadi bandar termaju di Kelantan. Pembangunan Tok Bali Supply Base (TBSB) akan beri peluang pekerjaan kepada 50,000 pekerja baharu tempatan dan kita tahu orang Pasir Puteh tak pernah terfikir ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) akan masuk ke sini,” katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada Parlimen Pasir Puteh, merangkumi RM2 juta bagi membaiki rumah rosak, RM1 juta bagi menaik taraf Dewan Omar, Kompleks UMNO Uthmaniyah dan RM500,000 bagi membantu ibu tunggal.

Beliau turut berjanji untuk menambah peruntukan sebanyak RM4 juta bagi membaik pulih rumah jika BN berjaya menawan kembali kerusi Parlimen Pasir Puteh dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Gaal, Semerak, Limbongan dan Selising pada PRU14. -BERNAMA