Dr. Ibrahim (tengah) bersama jentera pilihan rayanya.

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali telah menyusun atur jenteranya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) atas tiket bebas.

Beliau yang disebut-sebut akan bertanding sama ada di kerusi Parlimen Pasir Mas atau Parlimen Rantau Panjang mengadakan kursus kepada kira-kira 650 peserta jenteranya untuk menjadi barisan hadapan menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, penyertaannya dalam pertandingan itu bukan untuk memecah undi, sebaliknya atas dasar perjuangannya untuk rakyat.

“Saya mahu membela nasib rakyat, bukan bertanding kerana tamak jawatan. Saya perlu menang untuk membolehkan suara saya didengari di Dewan Rakyat,” katanya yang mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera pilihan rayanya di Kota Bharu semalam.

Dalam ucapan pada majlis kursus khas K50 dan penyampaian watikah serta ikrar taat setia itu, beliau menjelaskan visi dan misi yang akan dilaksanakan nanti.

Beliau berharap, semua jentera bekerja kuat membantunya beroleh kemenangan.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di Kota Bharu itu ialah dua Naib Presiden Perkasa Malaysia, Datuk Ruhanie Ahmad dan Tuan Syed Osman Syed Mansor serta Ketua Penerangan Perkasa, Datuk Ruslan Kasim. – MalaysiaGazette