Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar diiringi Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendengar penjelasan daripada pekerja MayBank mengenai produk yang ditawarkan bank itu pada Karnival Usahawan Muda Malaysia di Ampang Point, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mendedahkan perangai buruk Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran pimpinan Pakatan Harapan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, ini kerana Karnival Usahawan Muda Malaysia dikenakan syarat tidak boleh menaikkan poster gambarnya sepanjang karnival pada hari ini.

Beliau memberitahu, karnival anjuran Pertubuhan Usahawan Muda Malasia (PUMMA) itu turut berdepan pelbagai masalah yang disifatkannya mendapat ‘wahyu’ daripada pegawai tertinggi kerajaan negeri.

“Saya kenal baik Yang di-Pertua, pegawai dan penguatkuasa Majlis Pebandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang bertugas secara profesional untuk bantu orang muda.

“Tapi saya faham yang selalu buat onar adalah ahli politik. Saat-saat akhir dapat wahyu hingga poster saya pun tidak dibenarkan digantung di karnival ini.

“Ini adalah contoh pentadbiran kerajaan Selangor yang pandai main politik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda Malaysia di Ampang Point di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PUMMA, Hasry Sham Chasmen dan Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos.

Pada majlis itu, Noh turut menyampai sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membantu PUMMA menggerakkan program bersama anak-anak muda pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Noh berkata, Kerajaan Selangor bukan ingin menolong rakyat, sebaliknya terus membuli rakyat terutamanya golongan usahawan yang mahu menyokong dasar kerajaan.

Jelas beliau, ini terbukti, golongan usahawan pada karnival itu perlu membayar lesen perniagaan sebanyak RM17,000 dan lesen sewaan tapak pula sebanyak RM6,000 sehari.

Pada masa sama, Noh memberitahu, PUMMA juga berdepan masalah dalam menganjurkan larian amal pagi tadi apabila peserta tidak dibenarkan melalui jalan-jalan tertentu di Selangor.

“Akibatnya, penganjur kehilangan seramai 700 peserta yang menarik diri apabila laluan asal diubah dan bernasib baik apabila dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – MalaysiaGazette