Mohamed Salah. Foto www.givemesport.com

LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan penyerang sensasinya, Mohamed Salah berada pada landasan terbaik untuk menjadi pemain terbaik dunia.

Bintang antarabangsa Mesir itu meneruskan kempen menakjubkan apabila menjaringkan empat gol ketika The Reds membelasah Watford 5-0 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Pencapaian luar biasa itu sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada 36 gol pada musim pertamanya.

Ia jaringan terbanyak pernah diledakkan pemain Liverpool pada penampilan sulung mereka bersama kelab itu.

Bagaimanapun, Klopp percaya pemain yang berusia 25 tahun itu mempunyai masa depan yang cerah untuk mengatasi kejayaan dilakar Lionel Messi dan seteru utamanya, Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dengan kedua-dua pemain berkenaan berada di usia 30-an.

“Saya fikir Mo (Salah) dalam perjalanan (menjadi pemain terbaik dunia),” kata Klopp.

“Saya tidak fikir Mo atau orang lain mahu dibandingkan dengan Lionel Messi.”

Klopp turut mencabar Salah untuk mengekalkan standard yang ditetapkan olehnya musim ini seperti yang dilakukan Messi dan Ronaldo. – MalaysiaGazette