KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan politik baru-baru ini adalah bukti betapa keji politik pembangkang di negara ini.

Malah tindakan Setiausaha Agung DAP berkenaan juga adalah gambaran betapa terdesak pemimpin parti itu sanggup meracuni fikiran murid sekolah dengan propaganda politik.

Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Bagan itu sebagai satu lagi bentuk hasutan dan doktrin minda agar anak muda membenci kerajaan.

“Lebih-lebih lagi mesej yang disampaikan oleh Guan Eng di dalam lagunya tidak bersandar kepada fakta dan jelas berunsur fitnah semata-mata.

“PAR menggesa polis membuat siasatan dan mengambil tindakan memandangkan perkara berkenaan melibatkan hasutan kanak-kanak sekolah untuk menanam kebencian terhadap kerajaan semasa,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah bekas Naib Presiden myPPP itu, kos mentadbir dan mengurus negara semakin meningkat dan ia bukan satu fenomena yang berlaku kerana 1MDB seperti yang dinyatakan oleh Guan Eng.

Jelas beliau, di United Kingdom misalnya, pelajar sudah dikenakan surcaj perubatan dan ini antara langkah diambil kerajaan Britain untuk mengelakkan berlaku defisit belanjawan.

Malah ujar beliau, kos kerajaan di setiap negara meningkat kerana populasi penduduk yang semakin besar, sekali gus kos perubatan, pendidikan, wang pencen dan subsidi juga bertambah.

“Guan Eng bukannya tidak arif atau tidak tahu mengenai perkara ini. Di bawah pentadbirannya di Pulau Pinang peningkatan 500 peratus dicatat dalam laporan Ketua Audit Negara.

“Maka apa yang Guan Eng beritahu kanak-kanak melalui nyanyiannya adalah tidak benar dan tidak ada asas langsung.

“Jelas sudah tiba masanya Guan Eng berundur dari jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum tindakannya memalukan jawatan tertinggi negeri itu yang disandang hari ini.

“PAR harap polis segera menyiasat dan beetindak tegas ke atas Guan Eng kerana tindakannya menghasut kanak-kanak sekolah untuk tanam kebencian terhadap kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette