Home Nasional Pengunjung Klinik 1Malaysia meningkat 6% setahun

Pengunjung Klinik 1Malaysia meningkat 6% setahun

Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan, Thanabalan mati di lokap
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Jumlah individu yang mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia (K1M) meningkat di antara dua hingga enam peratus setiap tahun sejak ia dibuka pada 2010.

Daripada jumlah tersebut kira-kira 35 juta rakyat telah menerima manfaatnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, statistik tersebut menunjukkan matlamat penubuhan K1M untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan mendapatkan akses perkhidmatan kesihatan mencapai sasarannya.

Dianggarkan 35 juta penduduk mendapat manfaat daripada K1M sejak penubuhannya pada 2010, yang mana peratus kunjungan bertambah antara dua hingga enam peratus setiap tahun.

Antara kemudahan disediakan termasuk rawatan asas, rawatan penyakit kronik serta kesihatan ibu dan anak, di mana bayaran RM1 dikenakan bagi warganegara dan percuma untuk warga emas.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga Januari 2018, terdapat 346 K1M di seluruh negara, tidak termasuk 21 K1M yang dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan iaitu di 19 Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara.

“K1M menyediakan rawatan asas membabitkan rawatan penyakit ringan seperti demam, batuk, selesema selain prosedur rawatan cucian luka, ujian makmal ringkas seperti ujian glukos darah kapilari dan ujian air kencing menggunakan ‘urine dipstick’.

“Rawatan penyakit kronik membabitkan rawatan susulan kes stabil, penyakit kronik dan rawatan kes baru diabetes dan hipertensi turut disediakan di K1M,” katanya.

Tambah beliau, dalam usaha menggalakkan kunjungan masyarakat ke K1M, Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan perluasan perkhidmatan Pegawai Perubatan secara berperingkat, yang mana ketika ini terdapat sejumlah 102 K1M yang mempunyai perkhidmatan Pegawai Perubatan

Penubuhan K1M antara inisiatif kerajaan dalam usaha mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).-MalaysiaGazette