Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (dua kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Ketua Pengarah LPP Kuala Lumpur, Datuk Mohd Salim Taha (kanan) sambil diiringi Pengerusi LPP, Tan Sri Zainal Dahalan (kiri) pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang dan Persaraan Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Pesara kakitangan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) diminta menggunakan ilmu yang diperolehi selama lebih tiga dekad dalam perkhidmatan untuk manfaat masyarakat dan negara.

Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, walaupun berstatus pesara, bekas kakitangan LPP masih merupakan aset masyarakat dan negara dalam menstrasnformasikan pertanian negara.

“Kalau sudah bersara tidak semestinya segalanya tamat. Jangan lupa bahawa anda masih memikul tanggungajawab besar untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat umum.

“Saya tidak mahu jangan sia-siakan ilmu yang ditimba lebih tiga setengah dekad sekadar menjadi liabiliti sebenarnya perlu menjadi insan produktif dan sumbangan anda masih diperlukan oleh masyarakat,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kakitangan dan Pesara LPP 2018 di ibu negara hari ini.

Beliau turut berharap pesara-pesara yang diraikan akan terus dijadikan pemangkin dan pendorong kepada kakitangan yang masih dalam perkhidmatan untuk terus memperkasa sistem penyampaian mereka ke tahap cemerlang.

Beliau juga mengingatkan para pesara adalah suatu kerugian sekiranya segala pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi daripada perkhidmatan dibiarkan begitu sahaja tanpa dimanfaatkannya.

Justeru katanya, pertanian adalah bidang yang lumayan dan para pesara perlu menerapkan segala ilmu yang diperolehi sepanjang lebih 40 tahun mengikut daya kemampuan masing-masing tanpa mudah menyerah kalah akibat dimamah usia.

Beliau pada masa yang sama menyeru para pesara dan kakitangan supaya mengenang dan terhutang budi dengan sumbangan kerajaan yang selama ini membela nasib keluarga dan anak-anak terus terjamin tanpa kesusahan.

“Kita bakal berdepan Revolusi Industri 4.0 dan Transformasi Nasional (TN50) dan fikirkan apa nak jadi dengan generasi kita nanti.

“Kalau tidak mahu melihat anak cucu kita menderita tanpa pekerjaan dan tak mampu bersaing di dunia mencabar dengan kaum lain, kita perlu bertindak sekarang.

“Kerajaan sudah membantu anda selama ini menyediakan peluang pekerjaan dan menghargainya selama empat dekad, maka kita harus tidak lupakan sumbangan kerajaan dan perlu terhutang budi dengan terus mendukung aspirasi kerajaan kita hari ini demi survival masa depan generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette