Home Dunia 23 diplomat Rusia tinggalkan London

23 diplomat Rusia tinggalkan London

Keluarga diplomat yang diusir dari Britain bersiap-sedia meninggalkan Kedutaan Rusia di London. foto RTE

LONDON. Seramai 23 diplomat Rusia yang diusir Britain meninggalkan ibu kota ini bersama keluarga masing-masing.

Pengusiran diplomat-diplomat itu ekoran krisis berhubung serangan agen saraf ke atas bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury pada 4 Mac lalu.

Kedua-dua beranak itu masih kritikal. Malah seorang anggota polis yang pertama datang memeriksa Skripal dan Yulia turut dirawat di hospital.

Tindakan Britain itu merupakan krisis hubungan terburuk antara kedua negara sejak Perang Dingin.

Perdana Menteri Theresa May menyalahkan Rusia atas serangan ke atas dua beranak dengan menggunakan serangan toksin saraf yang pertama kali diketahui sejak Perang Dunia Kedua.

Rusia telah berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam serangan ke atas Sergei Skripal dan anak perempuannya.

Sebaliknya, Moscow meminta Britain membekalkan sampel agen saraf yang digunakan dalam serangan tersebut.

Sebagai timbal balik, Rusia juga memberi tempoh seminggu untuk 23 diplomat Britain meninggalkan Moscow.

Rusia juga menutup Majlis British di negara itu.

Jurucakap May berkata, tindakan keras Britain itu untuk memastikan orang luar tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara tersebut.

May bertindak demikian selepas Rusoa enggan menjelaskan bagaimana agen saraf Novichok yang pertama dibangunkan oleh tentera Soviet digunakan dalam serangan terhadap Skripal dan anaknya.

Kesemua diplomat Rusia dan keluarga masing-masing dibawa pulang dengan penerbangan khas menggunakan pesawat Ilyushin-96 dari Moscow ke London melalui Lapangan Terbang Stansted.

Kepulangan mereka diiringi oleh Duta Besar Rusia ke London, Alexander Yakovenko. – MalaysiaGazette