SC
Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada pelabur supaya mengelakkan daripada terlibat dalam skim ‘pump and dumb’.

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, SC berkata, dalang skim tersebut akan memperoleh dan mengumpul saham pada harga yang lebih rendah sebelum menyebarkan sentimen positif mengenai syarikat-syarikat berkenaan dengan niat untuk menarik minat terhadap saham berkenaan bagi tujuan menaikkan harga.

“Apabila pelabur yang tidak curiga membeli saham itu, ia memberi peluang kepada dalang tersebut menjual saham mereka dengan meraih keuntungan.

“Para pelabur yang telah membeli saham pada harga yang melambung akan mengalami kerugian apabila gembar-gembur tersebut reda.

“SC dan Bursa Malaysia baru-baru ini telah mengenal pasti satu blog, ‘Bonescythe Stock Watch’ yang didapati mengeluarkan pelbagai artikel yang mengandungi kenyataan dan ramalan yang mengelirukan dan menipu, suatu kesalahan di bawah seksyen 178 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.

Katanya, susulan tindakan campur tangan SC, blog tersebut telah ditutup.

Dengan itu, ia menasihatkan para pelabur supaya berwaspada dan mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat keputusan peburan.

“Orang ramai yang telah menemui mana-mana laman sesawang yang mencurigakan, serta e-mel yang berkaitan dengan nasihat pelaburan atau apa-apa aktiviti dan perkhidmatan pasaran modal yang lain, boleh menghubungi SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected].

“Pelabur juga boleh merujuk kepada laman sesawang SC untuk mengetahui tentang amaran dan peringatan yang dikeluarkan, dan untuk maklumat lanjut mengenai pelaburan dan pendidikan pelabur, lawati laman BijakLabur di www.investsmartsc.my dan laman Facebook InvestSmartSC,” katanya. – MalaysiaGazette