Kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, Johor.

MUAR – Sebuah kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa di sini pada 8.50 pagi ini dan 11 krew kapal dikhuatiri hilang.

Dalam kejadian itu, seorang krew kapal ditemui mati manakala tiga orang terselamat.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat, Leftenan Komander Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, dua buah bot ronda digerakkan ke tempat kejadian sejurus Pusat Operasi Pangkalan Maritim Batu Pahat menerima maklumat.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat tiga orang mangsa ditemui selamat manakala seorang dijumpai lemas.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan di kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menyeru supaya masyarakat berhati-hati semasa menjalankan aktiviti di laut dan sekiranya berlaku kecemasan boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Pangkalan Batu Pahat ditalian 07-4344020 atau talian kecemasan 999. – MalaysiaGazette