Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kanan) beramah mesra dengan usahawan wanita pada Majlis Pra Pelancaran MAHA 2018 di Taman Pameran Pertanian Malaysia, MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK. 21 MAC 2018.
SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 tidak lagi menggunakan slogan berasaskan pertanian dalam acara dwi tahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebaliknya berkata, MAHA kali ini memilih slogan ‘Segalanya Wanita’ sebagai satu kelainan daripada kebiasaan serta penghargaan kepada golongan hawa itu menjadi tulang belakang kepada sektor pertanian negara.
“Acara MAHA pada November tahun ini memberi penghargaan untuk golongan wanita terutama dalam bidang pertanian dan industri asas tani di mana mereka memberi sumbangan besar dari ladang hingga jadi hidangan.
“Tema itu sendiri adalah sesuatu lain daripada yang lain, ia di luar kotak, kita tidak lagi bercakap pertanian pemangkin negara, tetapi fokusnya kepada sumbangan dan masa depan wanita.
“Sejarah penceritaan wanita ini akan kita persembahkan dalam MAHA 2018 di samping segala usaha diberikan untuk melonjakkan kedudukan dan peranan wanita dalam negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran MAHA 2018 di Pavilion Sarawak, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Penganjuran MAHA 2018 akan berlangsung selama 11 hari bermula 22 November hingga 2 Disember 2018 di MAEPS bakal memberi keutamaan kepada pempamer wanita sehingga 50 peratus daripada ruang pempamer yang disediakan.
Slogan ‘Segalanya Wanita’ dalam MAHA 2018 adalah salah satu inisiatif MOA dalam menyokong Tahun Memperkasa Wanita yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.
Ahmad Shabery berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran pengunjung MAHA 2018 lebih daripada 3.7 juta orang yang dicatatkan dalam acara sama pada tahun lepas.
“Saya percaya dengan sokongan wanita sendiri kita akan dapat mencapai kehadiran yang besar,” katanya.
Beliau tidak menolak kelainan slogan ‘Segalanya Wanita’ pada MAHA 2018 bakal melonjakkan hasil jualan pempamer daripada rekod acara ini pada tahun lepas.
“Nilai jualan dulu lebih RM400 juta dan saya percaya ia akan memberi ruang dan peluang kepada mereka terlibat dalalm MAHA kali ini bukan sahaja sumber pendapatan tapi peluang untuk memperkenalkan jenama dan produk-produk mereka,” katanya.

Katanya, MAHA 2018 juga akan memberi peluang kepada usahawan wanita mendapat sesi kaunseling dan tunjuk ajar serta mendapatkan bantuan kewangan.

“Mereka berpeluang mendapat bantuan Tekun dan Agro Bank serta pelbagai agensi lain untuk menonjolkan apakah produk-produk yang dianggap mesra wanita dalam MAHA pada kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette