Penulis buku Tulis Cantik: Pre-Writing Exercise, Dazrina Che DIn.

KUALA LUMPUR – Pengalaman membesarkan anak sulung yang pengidap autism telah mencetus idea baharu kepada Dazrina Che Din untuk menerbitkan sebuah buku belajar menulis kepada golongan kanak-kanak.

Dazrina, 36, berkata, usaha itu adalah kesinambungannya yang telah memperkenalkan pensil cakar untuk kegunaan Nurdiana Allisya Mizan yang kini berusia tujuh tahun.

Jelas ibu kepada tiga anak itu, hasil pengalamannya, beliau percaya kanak-kanak mampu membaca apabila terlebih dahulu mahir menulis.

Belajar menulis menggunakan pensil cakar.

“Dikenali buku Tulis Cantik: Pre-Writing Exercise, ia merupakan satu inisiatif untuk kanak-kanak diberi pilihan melakukan ativiti berfaedah daripada bermain gajet yang menjadi trend ketika ini.

“Malah jika ibu bapa mendedahkan awal kepada anak mereka cara menulis dengan betul banyak kelebihan diperolehi kerana dapat meningkatkan kemahiran nob halus daripada usia muda,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Tahun lalu, Dazrina Che Din mencari alternatif bagi mengatasi masalah anak sulungnya yang tidak boleh menulis pada usia lima tahun.

Namun tanpa disangka, tawaran hadir apabila seorang rakan yang berada di Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan pensil cakar untuk digunakan Nurdiana Allisya yang ketika itu berusia enam tahun.

Dazrina Che Din menerbitkan sebuah buku belajar menulis kepada golongan kanak-kanak.

Hasilnya dalam masa tiga bulan sahaja, Nurdiana sudah boleh menulis dan menyalin dengan kemas dan teratur sejak menggunakan pensil tersebut pada Julai tahun lalu.

Dazrina juga memperkenalkan pensil itu kepada dua anaknya lagi yang turut mampu menulis dengan baik dan pantas.

Malah sepanjang tahun lalu, beliau berjaya menjual 15,000 unit pensil cakar.

Mengulas lanjut, wanita yang memiliki sijil Applied Behaviour Analysis (ABA) berkata, buku Tulis Cantik: Pre-Writing Exercise dikeluarkan sebanyak 5,000 cetak dan dijual di atas talian (online) sejak Januari lalu.

Apa yang mengejut beliau, sehingga kini, buku itu sudah terjual sebanyak 2,000 cetakan.

Jelasnya, buku itu sesuai untuk semua lapisan umur kanak-kanak yang berumur empat tahun ke atas.

Buku Tulis Cantik untuk kanak-kanak.

“Silibus buku ini akan mengajar kanak-kanak langkah demi langkah untuk menulis dengan bermula belajar membuat garisan.

“Apa yang menarik, buku ini turut disediakan pelekat sebagai ganjaran jika kanak-kanak berjaya menyiapkan latihan pada setiap muka surat.

“Saya mengambil masa seminggu untuk menghasilkan silibus kerana saya percaya otak kanak-kanak perlu visual baru mereka cepat ingat apa yang tulis.

“Jadi kaedah yang saya gunakan adalah tengok, kenal, tulis dan ingat serta ibubapa perlu berinteraksi dengan anak-anak ketika membuat latihan,” katanya panjang lebar.

Buku Tulis: Pre-writing Exercise dan pensil cakar kini menjadi bahan pembelajaran di Child Story Theraphy & Learning Centre.

Dazrina yang merupakan seorang surirumah berkata, buku latihan menulis setebal 68 muka surat itu mampu dihabiskan oleh kanak-kanak dalam masa sebulan jika diberi fokus setiap hari.

Beliau turut memberitahu akan menerbitkan satu lagi buku iaitu Tulis Cantik: Belajar Membaca & Menulis Menggunakan Kaedah Otak Kanak pada bulan ini.

Sementara itu, buku Tulis Cantik: Pre-Writing Exercise hanya dijual pada harga RM8.

Jika membeli pakej bersama pensil cakar, harganya adalah RM20.

Kedua-dua produk itu kini menjadi bahan pembelajaran di Child Story Theraphy & Learning Centre iaitu pusat pendidikan untuk kanak-kanak khas yang terletak di Bandar Saujana Putra.

Sementara itu, untuk maklumat lanjut mengenai pensil cakar, orang ramai boleh hubungi talian 011-2626 1656 atau email : [email protected] dan Facebook/Instagram : @tuliscantik – MalaysiaGazette