Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim (dua kanan) melawat tapak gerai jualan ikan yang terdapat pada Program Sentuhan Rakyat bersama Penduduk Kuala Selangor di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3, Kuala Selangor, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2018.

KUALA SELANGOR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Zahid Hamidi mengingatkan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim supaya menumpukan perhatian kepada kawasan itu yang sebelum ini pernah dirampas oleh parti pembangkang.

Katanya, berdasarkan prestasi kekalahan BN pada pilihan raya di tahun 2008 sebelum berjaya dirampas semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 membuktikan kerusi itu panas.

“Pada PRU 2008 kita kalah 862 selepas itu menang 460 undi. Ertinya Irmohizam, kerusi ini perlu diberikan tumpuan untuk berkhidmat.

“Di Puncak Alam, Pusat Daerah Mengundi ada 5,700 dan di Puncak Alam ini antara terpenting di Kuala Selangor,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Rakyat di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Irmohizam.

Zahid berkata, sebagai wakil rakyat di Kuala Selangor, Irmohizam perlu sentiasa turun padang berjumpa penduduk di Puncak Alam.

“Datanglah selalu kalau boleh sembahyang hari-hari di sini,” tambahnya.

Zahid seterusnya turut mengingatkan agar jika pemimpin serta ahli parti BN bekerja sebagai satu pasukan untuk berusaha merampas semula Selangor.

Irmohizam sebagai calon BN pada pilihan raya yang lalu memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor dengan undi 27,500 mengalahkan calon Pas, Dr. Dzulkefly Ahmad.

Pada pilihan raya sebelum itu calon BN, Jahaya Ibrahim kalah kepada Dzulkefly.-MalaysiaGazette