AYER KEROH – Lebih kurang 30 peratus penjawat awam dalam negara yang menghadapi masalah psikiatri akibat bebanan kerja, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Jelas Datuk Azih Muda cabaran tugas golongan itu semakin mencabar saban hari memberi kesan kepada kesihatan mental.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan segera mengisi kekosongan perjawatan terutama kakitangan barisan hadapan bagi mengurangkan gangguan psikiatri dalam kalangan penjawat awam.

“Pengisian jawatan ini bukan saja bagi meringankan beban tugas digalas kakitangan awam, malah sebagai cermin bahawa kerajaan mampu menyalurkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

“Usaha ini perlu mendapat kerjasama pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya memastikan kakitangan diisi 100 peratus,” katanya pada Program Bual Bicara Ahli Kesatuan Kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (KEKAF) FAMA Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Beliau berkata, terdapat keperluan menambah jumlah kakitangan awam di pusat perkhidmatan seperti ditawarkan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) susulan pelbagai perkhidmatan ditawarkan di satu tempat.

Sehubungan itu katanya lagi agensi berkaitan perlulah memainkan peranan termasuk turun padang melihat keperluan bagi menambah jumlah kakitangan agar dalam masa yang sama usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dapat dilakukan.

“Kita menerima aduan masalah perjawatan ini dari pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun persekutuan dan negeri serta hospital,” katanya. -MalaysiaGazette