Home Utama Boleh bawa keluar, jangan dedahkan laporan sempadanan

Boleh bawa keluar, jangan dedahkan laporan sempadanan

KUALA LUMPUR – Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia akhirnya membenarkan anggota Parlimen membawa keluar Laporan Kajian Persempadanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, ahli-ahli parlimen dilarang sama sekali mendedahkan kandungannya kepada umum.

Beliau mengumumkan perintah baharu sekitar pukul 11.35 pagi tadi selepas bagi menarik balik perintah awal yang diumumkan sebelum sidang dewan rakyat bermula pagi tadi.

Beliau mengeluarkan perintah baharu sebagai menjawab persoalan berhubung embargo laporan persempadanan yang dibangkitkan oleh sebilangan anggota Parlimen.

Ahli-ahli Parlimen terus mempersoalkan sama ada laporan kajian itu boleh dibawa keluar, boleh baca dan sebagainya.

“Apabila saya merujuk  peraturan Mesyuarat 95A, ia tak menyebutkan bahawa laporan persempadanan itu tidak boleh dibawa keluar.

“Jadi saya puas hati bahawa saya punya discretion matter’ (kuasa budi bicara), ia boleh bawah keluar. Tetapi menurut peraturan Mesyuarat 95A, ia tidak boleh disiarkan dengan apa cara sekali pun.

“Kalau nanti apa yang terkandung dalam dokumen itu tersiar dengan apa cara sekali pun, maka pihak yang menyiarkan akan dianggap sebagai melanggar peraturan mesyuarat 95.

“Saya dapat melihat ada anggota Parlimen membaca dokumen (embargo) kerana ingin tahu sebab tak boleh bawa keluar. Sekarang boleh bawa keluar tapi jangan siarkan.. sekarang semua boleh bertenang,” tegasnya sebelum meneruskan sesi persidangan pertanyaan lisan semula.

Perintah awal yang ditarik balik beliau telah melarang laporan kajian itu dibuka, dibaca dan dibawa keluar oleh mana-mana ahli Dewan rakyat sehingga ia dibentangkan pada 28 Mac ini.- MalaysiaGazette