Berdasarkan laporan jam 7 pagi tadi, bekalan air sudah kembali operasi.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor dipersoal mengenai layanan istimewa kepada Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH) seolah-olah ‘ada udang di sebalik batu’ antara kedua-dua pihak.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kuala Selangor, Ahmad Hakimi Othman mendakwa, krisis bekalan air yang berlaku baru-baru ini sepatutnya digunakan untuk menyegerakan pengambilalihan SPLASH yang tergendala hampir empat tahun lalu selain menamatkan serta-merta mengekstrakdisi air mentah yang diberikan kepada SPLASH pada tahun 2015.

Menurutnya, tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat sengaja melengah-lengahkan proses itu akan menyebabkan peningkatan kos pengambilalihan ekuiti SPLASH sekaligus bakal menaikkan kos keseluruhan penyusunan semula industri air.

Dianggarkan purata kenaikan itu sebanyak 27 peratus bagi setiap tiga tahun, lonjakan hampir dua kali ganda daripada pertambahan maksimum 15 peratus semasa Selangor diterajui oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kami menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor segera menyelesaikan penstrukturan semula industri air tanpa berlengah atau dolak-dalik lagi,” tegas beliau sambil mendakwa ada spekulasi yang mendakwa Mohamed Azmin bersetuju dengan tuntutan dua pemegang saham SPLASH yang menuntut dibayar pampasan ekuiti sekitar RM2.8 bilion.

Kenyataan itu dibuat dalam Facebook beliau hari ini.

Jumlah itu, kata Ahmad Hakimi, lebih 11 kali ganda nilai tawaran asal sebanyak RM250.6 juta.

“Melihat sikap terlampau mesra dengan pemegang saham Splash ini, Pemuda Pas Kuala Selangor ingai mengingatkan kerajaan negeri agar tidak sesekali menggunakan krisis bekalan air baru-baru ini sebagai justifikasi untuk membayar pampasan ekuiti kepada syarikat itu.

“Tindakan tersebut akan akan mengakibatkan kos keseluruhan penyusunan semula industri air Selangor melonjak kepada RM12.20 bilion berbanding tawaran asal bernilai RM9.65 bilion.

“Kos keseluruhan penstrukturan semula industri air perlu dikekalkan pada RM9.65 bilion agar kepentingan pengguna di Selangor dan Wilayah Persekutuan serta kelangsungan dasar air percuma sebanyak 20 kiub meter pertama bagi setiap pengguna isi rumah sentiasa terjamin.

“Sekiranya ada pertikaian mengenai kaedah penilaian pengambilalihan ekuiti Splash, proses timbang tara merupakan satu-satunya jalan keluar terbaik seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Induk bertarikh 12 September 2014 sebagai dokumen rujukan dan panduan utama,” katanya.

Ahmad Hakimi juga meminta Mohamed Azmin menghentikan segala cubaan mengelirukan rakyat dan memesongkan fakta tanpa sebarang penjelasan. – MalaysiaGazette