Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, Lim Kit Siang enggan menjawab kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menggunakan logo DAP.

Sebaliknya, beliau menyatakan perkara itu boleh dijawab Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Jangan tanya saya…soal itu boleh ajukan kepada Guan Eng. Soal berkaitan parti, beliau (Guan Eng) boleh menjawab kerana dia yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Lim berkata demikian ketika diminta menjawab berhubung kenyataan Dr Mahathir pada minggu lepas yang menyatakan kesediaan untuk bertanding pada PRU-14 menggunakan lambang DAP.

Pengerusi PPBM itu membuat kenyataan berkenaan, susulan kemelut yang melanda partinya yang berkemungkinan dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).-BERNAMA