Gambar yang tular di laman sosial menunjukkan seorang suspek memegang pisau dipercayai mahu digunakan untuk tujuan samun.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejak empat individu yang dipercayai aktif melakukan aktiviti samun di di beberapa kawasan di sekitar Sungai Long dan Bandar Mahkota Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, aktiviti keempat-empat supek yang menggunakan kereta jenis Perodua Myvi telah ditularkan di laman sosial.

Menurutnya, modus operandi keempat-empat suspek yang bergerak di dalam satu kumpulan menyasarkan mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux yang berhenti di stesen minyak atau di tepi jalan.

Tambah beliau, aktiviti keempat-empat individu terbabit dikesan bermula pada Februari tahun ini hingga Selasa lepas.

 

“Melalui repot yang dirujuk ke bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah membuka lima Kertas Siasatan yang mana satu kertas siasatan diklasifikasikan dibawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan samun berkumpulan.

“Manakala empat Kertas siasatan lagi diklasifikasikan dibawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan melakukan samun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut agar menghubungi Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Asisten Superitendan Mohd Irwan di talian 017-316 8097 untuk tindakan lanjut.
– MalaysiaGazette