Mark Zuckerberg. foto CBC

SAN FRANCISCO – Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, pada Rabu mengakui bahawa syarikatnya telah melakukan kesilapan berhubung skandal kebocoran data sehingga menjejaskan privasi pengguna, dan mungkin disalah guna untuk tujuan politik.

“Kami telah melakukan kesilapan. Terdapat banyak lagi yang harus dilakukan, dan kami perlu meningkatkan usaha serta melaksanakannya,” kata beliau dalam satu kenyataan seperti yang dipetik oleh agensi berita China Xinhua.

Facebook terjerumus dalam kancah kontroversi selepas media Amerika Syarikat (AS) dan Britain melaporkan bahawa data lebih 50 juta pengguna telah digunakan oleh syarikat penganalisis data Britain, Cambridge Analytica, dalam aktiviti yang didakwa mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya Presiden AS, Donald Trump, pada 2016.

Zuckerberg berkata Facebook akan mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah kesilapan itu berulang.

Pada Isnin, saham Facebook jatuh sebanyak 7 peratus, kejatuhan paling ketara dalam tempoh empat tahun, susulan insiden kebocoran data itu.- BERNAMA