Menteri Belia dan Sukan, Brig. Jen. Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir pada Majlis Perasmian Penutup Program Milenium Youths Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018 Anjuran Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Komuniti UMNO Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 23 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Keputusan Kabinet untuk menggubal akta berita palsu bukan untuk mengheret pemberi maklumat dan hanya khusus untuk menangani krisis fitnah kepada kerajaan, demikian menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Ujarnya, krisis fitnah dan berita palsu adalah fenomena sejagat dan kerajaan perlu mengambil langkah segera menanganinya kerana ia jelas memberikan kesan buruk kepada negara.

“Keputusan itu diluluskan Kabinet kerana kita boleh ambil tindakan yang cepat terhadap berita palsu sebab ia boleh beri kesan kepada PRU malah perniagaan, dan kedudukan kewangan negara.

“Hari ini sebaran berita sangat cepat dan jika tidak ada undang-undang untuk tangani permasalahan ini ia akan beri kesan kepada negara,” katanya.

Khairy ditemui media pada sidang media selepas menutup Program Millennium Youth 2018 di Parlimen Titiwangsa hari ini.

Hadir sama, Menteir Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kabinet sebelum ini meluluskan Rang Undang-undang Berita Palsu bagi dibentangnya di Dewan Rakyat.

Malah satu jawatankuasa khas juga akan dibentuk bagi mengkaji undang-undang tersebut untuk membendung berita palsu.

Ia juga selas dengan usaha kerajaan dalam menangani ancaman kestabilan politik yang turut menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Ditanya samada akta baharu ini akan menyamai Akta Pemberi Maklumat yang diluluskan pada 2010, Khairy berkata, ia tidak berkaitan langsung malah hanya menumpukan kepada aspek berita palsu.

“Sasaran kerajaan adalah mereka yang membuat berita palsu dan sebarkan, ini bukan sahaja dihadapi di negara ini tetapi di seluruh dunia.

“Apa yang kita sasarkan bukan pemberi maklumat tetapi berita palsu, kalau ada maklumat dan mahu dedahkan maklumat itu sebagai pemberi maklumat mereka akan dilindungi dibawah akta itu,” katanya. – MalaysiaGazette