Datuk Seri Najib Tun Razak. foto HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan di bawah pimpinnya bukanlah sebuah kerajaan yang syok sendiri.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaannya sentiasa mengutamakan projek-projek yang memberi manfaatkan kepada seluruh lapisan rakyat.

Jelas beliau, sebagai contoh, projek pengangkutan awam kini digunakan kira-kira 1.2 juta pengguna.

“Bagi projek pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT), lebih 120,000 pengguna menaikinya setiap hari dan jumlah itu akan bertambah pada masa akan datang.

“Nelayan juga akan mendapat elaun bantuan sara hidup sebanyak RM300 manakala pesawah turut mendapat elaun sebanyak RM200 selama tiga bulan.

“BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) pula memberi manfaat kepada lebih 7 juta rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sebelum majlis pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2017 di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEX) di sini malam ini.

Sesi dialog itu dikendali moderator,
Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala.

Soalan itu dikemukakan awal melalui e-mel kepada Pemandu.

Mengulas soalan berkaitan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang menyebabkan beliau terus dikritik walaupun kerajaan banyak melaksanakan projek rakyat, Najib memberitahu, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyimpulkan model perniagaan syarikat itu tidak memiliki asas kukuh berikutan dana kerajaan hanya RM1 juta.

Jelas beliau, 1MDB yang memiliki pelbagai perancangan projek besar membuat pinjaman sebanyak RM42 bilion namun wang itu tidak hilang.

“Kadar faedah pinjaman itu dalam lima (prtatis) iaitu RM2 bilion setahun. Yang menjadi masalah apabila penyenaraian aset 1MDB, Edra Global Energy (Edra) telah digagalkan untuk isu politik.

“Mereka cuba jatuhkan kerajaan bukan secara demokrasi dan timbul isu ditohmah macam-macam seperti wang hilang.

“Edra yang patut disenaraikan dianggar boleh meraih keuntungan di pasaran sekitar RM22 bilion ketika itu,” katanya.

Najib menambah, apabila tawaran awam permulaan (IPO) tidak berlaku,
masalah mula timbul namun kerajaan telah mengambil langkah rasionalisasi.

“Projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) yang memiliki menara lagi tinggi daripada Menara Berkembar KLCC yang menjadi kawasan ikonik.

“Projek Bandar Malaysia akan menjadi teras pengangkutan yang menghu­bungkan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, laluan aliran transit massa (MRT) yang akan jadi untuk selesai hutang 1MDB,” katanya. – MalaysiaGazette